SEREMBAN, 11 November - Lebih 7,000 pencari kerja berdaftar menerusi portal MYFuturejobs direkodkan di Negeri Sembilan setakat Oktober lalu berjaya mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Exco Keusahawanan Sumber Manusia, Perubahan Iklim Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, pencapaian itu sekali gus membuktikan portal berkenaan terus menjadi platform berkesan dalam membantu rakyat mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kemahiran masing-masing.
"Daripada 13,000 pencari kerja berdaftar di Negeri Sembilan, kira-kira 7,300 telah mendapat penempatan pekerjaan mereka di bidang-bidang tertentu. Jadi saya rasa memang platform ini sangat-sangat berguna dan sangat efektif untuk mencari kerja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival MYFuturejobs Career Summit 2025 di sini.
Dalam pada itu, penganjuran Karnival MYFuturejob Negeri Sembilan 2025 Career Summit pada edisi kali ini membawa kelainan berbanding edisi sebelumnya apabila turut menawarkan peluang pekerjaan di peringkat pengurusan dan profesional.
Karnival berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan lebih 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja di seluruh negeri.