
KUALA TERENGGANU, 20 Jun – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan lebih 60,600 kelahiran warga asing direkodkan di Malaysia sejak 26 tahun lalu, namun rekod kelahiran itu tidak memberikan kewarganegaraan secara automatik.
- Rekod kelahiran termasuk kategori warga Myanmar.
- Kelahiran warga asing tidak memberi kewarganegaraan automatik; status ditentukan oleh taraf ibu bapa mengikut undang-undang.
- Faktor pendaftaran lewat termasuk masalah keluarga, jarak kediaman dan kebimbangan ditahan kerana status dokumen pasangan.
- Pendaftaran lewat perlu ditangani supaya setiap individu mempunyai rekod pengenalan sah mengikut undang-undang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Alias berkata rekod berkenaan termasuk kelahiran melibatkan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menurut beliau, rekod itu turut membabitkan kelahiran dalam kalangan warga Myanmar.
Bagaimanapun, beliau menegaskan status kewarganegaraan seseorang anak ditentukan berdasarkan taraf dan kedudukan ibu bapa mengikut peruntukan undang-undang, bukan semata-mata berdasarkan rekod kelahiran.
Beliau berkata terdapat pelbagai faktor menyebabkan kelahiran tidak didaftarkan termasuk masalah keluarga, lokasi kediaman yang jauh serta kebimbangan untuk hadir ke pejabat JPN.
“Sebagai contoh, walaupun ayah rakyat Malaysia dan ibu dari Indonesia tetapi perkahwinan tidak didaftarkan, anak itu tidak mendapat kewarganegaraan.
“Isu daftar lewat lahir ini berlaku disebabkan pelbagai masalah keluarga — tidak mendapat perhatian, tinggal jauh di pedalaman dan ada yang takut hadir kerana bimbang ditahan disebabkan status dokumen pasangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Santuni MADANI Jabatan Pendaftaran Negara di Kampung Padang Tanjung di sini hari ini.
Datuk Badrul Hisham berkata pendaftaran kelahiran penting bagi memastikan setiap individu mempunyai rekod pengenalan diri yang sah mengikut peruntukan undang-undang.