PEKAN, 1 Oktober – Sebanyak 20.65 jta ekor benih ikan telah dilepaskan ke perairan umum di seluruh Pahang sejak tahun 2010 hingga Ogos tahun ini.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, bagi bulan Ogos sahaja, sebanyak 2.3 juta ekor benih ikan telah dilepaskan di negeri itu.
Antara spesies yang dilepaskan termasuk Kelah, Kerai, Temelian, Patin Buah, Tengalan, Sebarau, Baung Sungai, Lampam Sungai, Terbul dan Udang Galah.
“Program pelepasan ini bertujuan meningkatkan stok populasi ikan di Sungai Pahang sekali gus menambah pendapatan nelayan darat yang menangkap ikan di sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang di Kampung Padang Rumbia, di sini, hari ini.
Hasil program itu, Pahang merekodkan pendaratan perikanan darat berjumlah 2,218.20 tan metrik bernilai RM64.25 juta pada tahun 2024, meningkat berbanding 1,920.28 tan metrik bernilai RM53.49 juta pada 2023.
Menurut Datuk Adnan, jumlah pendaratan perikanan darat di Pahang adalah kedua tertinggi di Malaysia, namun mencatat nilai tertinggi berikutan spesies ikan di negeri itu bernilai tinggi.
Sementara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke program berkenaan yang dianjurkan Yayasan AmanahRaya dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Baginda turut menyempurnakan simbolik penyerahan cek cura berjumlah RM305,250.40 kepada 30 nelayan darat dari daerah Pekan, Kuantan dan Rompin.
Bantuan berkenaan merangkumi bot gentian kaca, enjin sangkut serta peralatan menangkap ikan seperti jaring, bubu ketam dan tong insulasi.