SEPANG, 8 April - Lebih 156,000 penumpang dijangka pulang ke kampung halaman masing-masing menggunakan pengangkutan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Ia melibatkan sebanyak 1,035 penerbangan domestik dan antarabangsa, dengan 576 penerbangan di Terminal 1 dan 459 penerbangan di Terminal 2 KLIA.
Pengurus Besar Operasi Terminal 1, KLIA, Abd Hasman Abd Muhimim memaklumkan pihaknya sentiasa bersiap-siaga memastikan kelancaran operasi khususnya dengan peningkatan jumlah penumpang pada musim perayaan.
"Pihak kami sentiasa memantau operasi lapangan terbang terutama ketika proses daftar masuk dan beberapa pelan kontigensi (perkara yang berlaku di luar jangkaan) yang telah kami ambil kira.
"Untuk keselesaan penumpang, dari segi pengurusan melalui pasukan duta penerbangan Customer Experience Management (CEM) melibatkan pasukan lapangan terbang, pasukan terminal, sukarelawan dan staff kami akan bertugas dengan kapasiti maksimum untuk memastikan kelancaran operasi di lapangan terbang," katanya kepada RTM.
Beliau turut memaklumkan pihak syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA turut menyediakan 500 penerbangan tambahan bagi menampung permintaan perjalanan bersempena Hari Raya Aidilfitri.