Lebih 1,000 peserta dijangka sertai MRC, IRF

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Lebih 1,000 peserta dijangka menyertai Persidangan Jalan Raya Malaysia (MRC) ke-13 dan Kongres Wilayah Asia Pasifik Global Persekutuan Jalan Raya Antarabangsa (IRF) ke-6 yang dijadual berlangsung pada Oktober depan di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persidangan menjadi platform perkongsian kepakaran teknologi jalan raya bertaraf global dengan penglibatan antarabangsa melalui IRF.
  • Sebanyak 111 ruang pameran disediakan, dengan penyertaan antarabangsa dijangka sekitar 10 peratus.
  • Persidangan 13 hingga 15 Oktober menampilkan 122 kertas kerja teknikal merangkumi 10 subtema termasuk kejuruteraan cerun dan aplikasi AI.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata penganjuran MRC dan IRF kali ini akan menjadi platform perkongsian kepakaran teknologi jalan raya bertaraf global sekali gus berpotensi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri kejuruteraan infrastruktur.

“Sebanyak 111 ruang pameran akan disediakan dengan jumlah kehadiran dijangka mencecah sehingga 1,000 peserta dengan 10 peratus daripadanya peserta antarabangsa.

“Ini yang menjadikan penganjuran kali ini lebih istimewa kerana turut menampilkan penyertaan dan penglibatan antarabangsa melalui IRF,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran MRC ke-13 dan IRF ke-16 di sini.

Tambah Datuk Seri Maslan, penganjuran persidangan antarabangsa itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan rangkaian jalan raya negara kekal berkualiti dan berdaya tahan.

MRC ke-13 dan IRF ke-16 dijadual berlangsung bermula 13 hingga 15 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Transforming the Nation Through Future-Ready Roads‘, penganjuran kali ini akan menyaksikan pembentangan 122 kertas kerja teknikal daripada jabatan dan agensi berkaitan, yang merangkumi sepuluh subtema utama antaranya kejuruteraan cerun, audit keselamatan jalan raya, pengurusan aset, serta aplikasi teknologi pintar berasaskan kecerdasan buatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.