fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi PM ke Vietnam fokus pemulihan ekonomi pasca COVID-19

HANOI, 19 Mac- Pemulihan ekonomi pasca COVID-19 dalam pelbagai sektor terutama bidang pelaburan dan pengiktirafan sijil vaksinasi antara fokus utama yang akan menjadi tumpuan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Vietnam bermula esok hingga Selasa.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin berkata, pihak berkuasa Vietnam mengiktiraf sijil vaksinasi Malaysia dan keputusan itu disambut baik kerana ia merupakan antara aspek kerjasama yang ingin diadakan dengan rakan strategik negara ASEAN dan luar ASEAN.

"Bagi pihak Malaysia, pengiktirafan sijil vaksinasi Vietnam sedang diteliti dengan aktif oleh kementerian yang berkaitan terutama MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan inovasi).

"Mungkin semasa lawatan ini, Perdana Menteri akan membuat pengumuman tentang hala tuju berhubung pengiktirafan sijil vaksinasi dan kemudahan untuk rentas sempadan Malaysia.

"Kita akan lihat bagaimana prosedur yang perlu ditetapkan untuk kedua-dua pihak bagi proses keluar masuk antara Malaysia dan Vietnam bagi semua kategori pengembara, pelancong, perniagaan serta pelajar,” katanya pada sidang akhbar bersama media Malaysia di sini pada Sabtu.

(Amran ketika sidang media berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
ke Hanoi, Vietnam pada Sabtu)


Beliau berkata, Vietnam telah membuka pintu sempadannya pada 15 Mac lalu dan lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membincangkan perkara berkaitan pasca pandemik.

"Dari segi perdagangan pula, lebih 16 bilion dollar Amerika dicatat pada tahun lalu antara kedua negara.

"Malaysia berada pada kedudukan ke 9 sebagai rakan dagangan utama Vietnam.

"Sementara, jumlah pelancong Malaysia tiba di negara ini adalah 600,000 pada 2019, dan 400,000 pelancong Vietnam pula tiba di Malaysia pada tempoh yang sama," katanya.

Golongan pelabur dari Malaysia pula merupakan yang ke-8 terbesar di Vietnam, namun nilai pelaburan pelabur dari Vietnam di Malaysia masih perlu dipertingkatkan bagi mencapai keseimbangan dan antara yang akan menjadi tum,puan lawatan Perdana Menteri, esok.




Media Baharu