fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke luar negara wajar demi perkukuh hubungan bilateral

PUTRAJAYA, 26 Mac - Usaha untuk meningkatkan kembali peranan Malaysia di peringkat antarabangsa kini giat dilaksana kerajaan menerusi pengukuhan hubungan diplomatik dengan negara luar.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia mempunyai hubungan luas dengan hampir semua negara di dalam dunia.

Khususnya yang memerlukan hubungan secara bilateral dan multilateral dilakukan secara berterusan.

Oleh itu, lawatan Perdana Menteri ke luar negara adalah perlu dilakukan tanpa mempersoalkan tujuan tersebut.

"Apa yang paling mustahak adalah Malaysia perlu terus ke hadapan untuk mewujudkan hubungan antarabangsa yang baik apatah lagi dalam usaha kita meningkatkan semula peranan Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya ketika mengulas dakwaan pihak pembangkang yang cuba mempolitikkan lawatan-lawatan Perdana Menteri di luar negara.

(FOTO Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Tambahnya, Malaysia juga sedang berada ke hadapan untuk menjadi sebuah negara kuasa tengah yang penting di peringkat antarabangsa.

Ia dapat dilihat apabila Malaysia diminta untuk menjadi negara pengantara bagi menyelesaikan isu dan konflik serantau mahupun antarabangsa.

"Saya mengambil contoh umpamanya masalah yang berlaku di Selatan Filipina dan Selatan Thailand, yang mana Malaysia diminta memain peranan bersama bagaimana untuk menyelesaikan serta mencari jalan perdamaian yang berkekalan di sana.

"... Dan ini yang ingin saya katakan iaitu peranan Malaysia yang perlu diteruskan di peringkat antarabangsa,"katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk melantik orang tengah yang terdiri daripada ketua tentera yang telah bersara untuk mencari jalan bagi membantu dan memberi bantuan dalam menyelesaikan isu di selatan Thailand.

Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi sulung sehari ke Kemboja esok.

Ia adalah lawatan rasmi luar negara ketujuh bagi Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov tahun lepas.


Media Baharu