
KUALA LUMPUR, 18 Februari- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di beberapa perairan negara berkuat kuasa sehingga Sabtu, 21 Februari ini.
- Amaran angin kencang dan laut bergelora berkuat kuasa sehingga 21 Februari, memberi impak kepada beberapa perairan pantai dan laut negara.
- Angin timur laut 40 hingga >60 km/j dengan ombak 3.5 hingga >4.5 meter berbahaya untuk aktiviti perkapalan, menangkap ikan dan feri.
- MetMalaysia menasihatkan pekerja pelantar minyak, bot kecil dan perkhidmatan feri berjaga-jaga serta menangguhkan aktiviti laut tidak penting.
Kawasan terjejas termasuk Johor Timur, Pahang (termasuk Pulau Tioman), Terengganu, Kelantan, Sabah Timur dan Labuan.
Angin timur laut berkelajuan antara 40 hingga melebihi 60 kilometer sejam dijangka melanda perairan berkenaan dengan ombak setinggi 3.5 hingga lebih 4.5 meter.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” menurut kenyataan.
Tambah kenyataan itu, beberapa perairan antarabangsa turut terjejas termasuk Samui (Thailand), Bunguran (Kepulauan Natuna, Indonesia), Reef North & Reef South, Condore, Palawan (Filipina) dan Sulu (Filipina).
MetMalaysia turut mengeluarkan peringatan agar pekerja pelantar minyak, bot kecil dan perkhidmatan feri mengambil langkah berjaga-jaga serta menangguhkan aktiviti laut tidak penting.