Laluan PLUS di Terowong Menora selamat digunakan – Kerajaan Perak

PLUS memasang lapisan pelindung permukaan, penghadang konkrit, kabel dan jaring penahan batu sebagai langkah keselamatan tambahan/Foto Plus Malaysia

Kerajaan Perak memberi jaminan laluan Lebuhraya Utara-Selatan di sekitar Terowong Menora selamat digunakan susulan kejadian hakisan tanah di Kilometer (KM) 263.6 arah selatan pada 11 September lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian teknikal oleh PLUS, LLM dan pakar geoteknikal mendapati struktur cerun kekal stabil dan tidak terjejas.
  • Pemantauan di kawasan akan dipertingkat termasuk meningkatkan kekerapan rondaan untuk keselamatan pengguna lebuh raya.
  • Cadangan pemasangan CCTV 24 jam dan papan tanda sesuai untuk memantau serta memberi amaran kepada pengguna lebuh raya.
  • Kerajaan negeri meneliti peruntukan tambahan dengan Kementerian Kerja Raya untuk kerja pengukuhan cerun jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pemantauan di kawasan berkenaan akan dipertingkat bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

Beliau berkata penilaian teknikal oleh PLUS Malaysia Berhad, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pakar perunding geoteknikal mendapati struktur keseluruhan cerun batuan di lokasi kejadian kekal stabil dan tidak terjejas.

“Antara tindakan yang akan kita ambil ialah meningkatkan kekerapan rondaan. Kita juga mencadangkan pemasangan CCTV di lokasi yang sesuai supaya kawasan ini dapat dipantau 24 jam.

“Kita juga akan melihat tanda-tanda yang sesuai untuk perhatian pengguna dan berbincang dengan pihak berkaitan mengenai papan tanda paling sesuai di kawasan ini,” katanya.

Kerajaan Perak meningkatkan pemantauan di sekitar Terowong Menora bagi memastikan keselamatan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan/Foto Plus Malaysia

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan pemantauan di lokasi kejadian, hari ini.

Sebagai langkah mitigasi, PLUS memasang lapisan pelindung permukaan dan penghadang konkrit di bahu jalan, selain kabel serta jaring penahan batu sebagai perlindungan tambahan.

Mohammad Nizar berkata kerajaan negeri turut meneliti keperluan mendapatkan peruntukan tambahan menerusi Kementerian Kerja Raya bagi melaksanakan kerja pengukuhan cerun untuk jangka panjang.

Kejadian pada 11 September lepas dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan kerosakan sistem saliran cerun, menyebabkan tanah, pokok serta tumbuhan menggelongsor ke lorong kiri lebuh raya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.