
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Malaysia memberi jaminan laluan perdagangan di rantau ASEAN kekal selamat serta bebas sebarang sekatan dengan terus berpaksikan prinsip keamanan dan berkecuali.
- Perbincangan untuk memperkukuh hubungan dua hala melalui peningkatan perdagangan, pelaburan serta kerjasama antara sektor perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.
- Perbincangan memperdalam kerjasama peralihan tenaga dengan menggunakan kepakaran Belgium dalam teknologi baharu dan bahan termaju serta menggalakkan pelaburan.
- Belgium komited meningkatkan perdagangan dua hala dan akan menyemak nasihat perjalanan ke Sabah, berpotensi merancakkan sektor pelancongan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan komitmen Kuala Lumpur itu, selepas pertemuan sulung dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Hal Ehwal Eropah dan Kerjasama Pembangunan Belgium, Maxime Prevot.
“Kita memberi jaminan ASEAN akan memastikan laluan perdagangan pihak ketiga tidak akan berlaku sebarang sekatan kerana kita berpegang kepada prinsip keselamatan, berkecuali dan keamanan,”jelas beliau ketika meraikan Prevot dalam satu majlis jamuan tengah hari di ibu negara.
Selain isu keselamatan maritim, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala melalui peningkatan perdagangan, pelaburan serta kerjasama antara sektor perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.
Datuk Seri Fadillah turut memaklumkan, kedua-dua negara juga membincangkan peluang untuk memperdalam kerjasama dalam peralihan tenaga khususnya menerusi kepakaran Belgium menerusi teknologi baharu dan bahan termaju, sambil menggalakkan pelaburan lebih besar syarikat Belgium di Malaysia.
Dalam pada itu, Belgium menyatakan komitmen untuk meningkatkan perdagangan dua hala serta bakal menyemak semula nasihat perjalanan negaranya ke Sabah, sekali gus berpotensi merancakkan sektor pelancongan.
Kedua-dua pemimpin juga bertukar pandangan berhubung ekosistem halal Malaysia, dengan Belgium mencadangkan agar piawaian halal Malaysia diterokai dengan model yang boleh diterima pakai secara lebih meluas dalam Kesatuan Eropah.
Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Belgium ke Malaysia Peter Van Acker.