Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional disambut baik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional yang dilancarkan kerajaan disambut baik pemandu teksi yang melihat inisiatif itu mampu mengurangkan kos pemilikan kenderaan baharu, sekali gus meningkatkan imej perkhidmatan teksi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengecualian 100% duti eksais dan cukai jualan bagi pembelian teksi atau kereta sewa baharu buatan nasional.
  • Mengurangkan beban kewangan pemandu dan memudahkan pemilikan kenderaan baharu melalui pembiayaan lebih mampu milik.
  • Meningkatkan imej perkhidmatan teksi dengan kenderaan lebih moden, tahan lama dan menarik minat pelancong.
  • Kerjasama Kementerian Pengangkutan, PROTON, DRB-HICOM dan institusi kewangan sediakan pilihan pembiayaan fleksibel untuk mempercepat pembaharuan armada.

Program yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka itu merupakan susulan Belanjawan 2026 yang menawarkan pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan bagi pembelian teksi atau kereta sewa baharu buatan nasional.

Bagi pemandu teksi, Tannarsu Raman, pengecualian itu mampu meringankan beban kewangan pemandu selain memudahkan mereka memiliki kenderaan baharu melalui pembiayaan yang lebih mampu milik.

“Kalau kerajaan memberi, senanglah semua pembaharuan teksi. Kereta itu pun kita dapat harga murah. Orang nak bayar pun senang boleh bayar, tak ada masalah,” katanya.

Seorang lagi pemandu teksi, Halim Hamid berpendapat inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu pemandu mendapatkan kenderaan yang lebih moden dan tahan lama, malah mampu meningkatkan imej perkhidmatan teksi kepada pelancong.

“Dengan harga yang berpatutan. Sekarang ini kereta dah tak pakai gas. Saya rasa enjin lagi tahan lama. Bagus. Tapi kena kurangkan lagi harga untuk teksi. Harga istimewa sikit. Itu memang bantuan terbaik untuk pemandu teksi. Di Malaysia teksi pun nampak lebih moden dan tidak lagi kelihatan buruk,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi, Philip Gomez berharap beliau turut berpeluang menikmati manfaat program berkenaan kerana percaya ia dapat membantu lebih ramai pemandu memiliki teksi sendiri pada kos yang lebih rendah.

“Ya, saya ingin memiliki teksi baharu sendiri. Saya sangat gembira kerana program ini  dilaksanakan dan ia akan membantu pemandu teksi seperti saya dalam pekerjaan,” katanya.

Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional diterajui Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama sektor swasta termasuk PROTON, Kumpulan DRB-HICOM melalui EON-Avis dan EON-Tras serta institusi kewangan yang menawarkan pelbagai pilihan pembiayaan fleksibel bagi mempercepatkan pembaharuan armada teksi di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.