El Nino dijangka bertambah kuat, tingkatkan risiko cuaca ekstrem di seluruh dunia

Foto janaan AI/RTM

ISTANBUL, 3 Julai – Fenomina El Nino kini terbentuk di kawasan tropika Lautan Pasifik dan dijangka bertambah kuat dengan pantas dalam beberapa bulan akan datang, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya gelombang haba, kemarau, hujan lebat serta pelbagai kejadian cuaca ekstrem di banyak kawasan di seluruh dunia, menurut amaran Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Model meramalkan peralihan pantas kepada El Nino kuat Julai hingga September, dengan suhu permukaan laut Khatulistiwa Pasifik melebihi 2°C berbanding purata.
  • WMO memberi amaran peningkatan kemungkinan kemarau, hujan lebat, gelombang haba darat dan marin serta pelbagai kejadian cuaca ekstrem di banyak rantau.
  • Pertubuhan itu menyelaraskan mobilisasi global, mempertingkat amaran awal dan perkhidmatan iklim untuk membantu kerajaan, kemanusiaan, pertanian dan sektor kesihatan bersedia.

Dalam kemas kini terbaharu Iklim Bermusim Global, agensi cuaca Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan bahawa model ramalan menunjukkan peralihan pantas kepada fenomena El Nino yang kuat bagi tempoh Julai hingga September, dengan suhu permukaan laut di kawasan tengah dan timur Khatulistiwa Lautan Pasifik dijangka meningkat melebihi dua darjah Celsius (°C) berbanding purata di kawasan pemantauan utama.

Menurut WMO, model ramalan menunjukkan “kesepakatan yang amat tinggi”, sekali gus memberikan keyakinan bahawa El Nino akan terus bertambah kuat sepanjang musim luruh di Hemisfera Utara manakala suhu di kawasan Khatulistiwa Lautan Atlantik juga dijangka kekal lebih panas daripada purata.

“Fenomena El Nino telah bermula dan dijangka bertambah kuat dengan pantas, seperti yang diramalkan dengan tepat oleh unjuran WMO,” menurut kenyataan Setiausaha Agung WMO Celeste Saulo, seperti dipetik Anadolu Ajansi.

“Keadaan ini akan meningkatkan kemungkinan berlakunya kemarau dan hujan lebat, selain menjelaskan yang risiko gelombang haba di daratan serta gelombang haba marin di banyak rantau di dunia,” katanya.

Agensi itu memaklumkan bahawa pihaknya meningkatkan penyelarasan, perkhidmatan penerangan iklim dan sokongan amaran awal bagi membantu kerajaan, pertubuhan kemanusiaan serta sektor yang sensitif terhadap perubahan iklim, termasuk pertanian dan kesihatan, membuat persediaan menghadapi potensi impak fenomena itu.

“Komuniti WMO melancarkan satu mobilisasi yang belum pernah berlaku sebelum ini bagi menyelaraskan aktiviti di seluruh PBB dan di peringkat serantau untuk menyokong kerajaan, pertubuhan kemanusiaan serta sektor yang sensitif terhadap perubahan iklim,” kata Saulo.

“Ramalan bermusim yang canggih serta amaran awal amat penting untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kesan terhadap ekonomi serta komuniti kita,” katanya lagi. – BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.