Wanita dikhuatiri lemas selepas terjun jambatan

Operasi SAR melibatkan pencarian dipermukaan air sejauh dua kilometer di sepanjang Sungai Paka/Foto RTM

DUNGUN, 3 Julai – Seorang wanita yang dipercayai mempunyai masalah mental dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun dari sebuah jambatan di sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi di Sungai Paka berhampiran Bandar AMBS.
  • Mangsa Norhaslini Din, 47, dilaporkan berada di rumah kira-kira 100 meter dari lokasi sebelum berlari ke jambatan.
  • Bapa, Din Zakaria, 77, mengejar tetapi tidak sempat; melihat anak dihanyutkan arus sebelum hilang dan segera menghubungi polis.
  • Operasi SAR dengan 27 anggota cari permukaan air sepanjang dua kilometer Sungai Paka; mangsa masih belum ditemukan hingga pukul 6.00 petang.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi tadi di Sungai Paka berhampiran Bandar Al Mukhtafi Billah Shah (AMBS).

Ketika kejadian, mangsa Norhaslini Din, 47, dikatakan berada di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Menurut bapa mangsa, Din Zakaria, 77, anaknya itu dikatakan secara tiba-tiba bertindak berlari keluar dari rumah terus menuju ke jambatan berkenaan.

Din berkata, selepas melihat kejadian itu beliau cuba mengejar anaknya namun tidak berjaya sebelum mangsa dilihat memanjat jambatan berkenaan dan terjun ke dalam sungai berkenaan.

“Bila dia berlari keluar , saya bertanya dia mahu pergi ke mana. Selepas itu saya kejar dia. Dia berlari menuju ke Sungai Paka dan terjun ke dalam sungai itu. Saya tidak mampu untuk kejar dia sebab dia berlari laju,” katanya.

Din memaklumkan, beliau hanya sempat melihat anaknya itu dihanyutkan arus sebelum hilang dan bertindak menghubungi pihak polis dengan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat ketika dihubungi berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan kekuatan seramai 27 orang anggota daripada pelbagai agensi terus digerakkan sejurus menerima laporan.

Menurutnya, operasi SAR melibatkan pencarian dipermukaan air sejauh dua kilometer di sepanjang Sungai Paka dan sehingga pukul 6.00 petang tadi mangsa masih belum ditemukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.