LABUAN, 27 Mac- Hampir 20,000 akaun pengguna Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) akan mengalami gangguan bekalan air secara berjadual pada April ini.
Gangguan itu melibatkan seluruh Labuan kecuali kawasan District Metered Area (DMA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) merangkumi UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Sekolah Menengah Sains Labuan, Kg Sg Miri/Sg Pagar, Kg Sg Lada, sebahagian Bukit Timbalai serta kawasan berhampiran.
Notis pemakluman berkenaan dikeluarkan hari ini bagi memberi peluang kepada pengguna membuat persediaan awal termasuk menyimpan bekalan air secukupnya serta merancang penggunaan air sepanjang tempoh gangguan yang dijadualkan.
Menurut notis tersebut, penutupan bekalan air akan dilaksanakan pada 10, 17 dan 24 April bagi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan termasuk:
🔹 Penggantian papan kawalan kuasa 11 kilovolt di Pam Fasa Dua Pulau Enoe.
🔹 Penyambungan paip baharu MSCL di Taman Kian Yap.
🔹 Pemasangan papan panel kawalan 415V di IPS Stesen Pam Bukit Kallam.
Gangguan bekalan dijangka berlangsung selama 15 jam dengan tempoh pemulihan antara 24 hingga 36 jam bergantung kepada lokasi pengguna.
Bagi mengurangkan kesan gangguan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri, JBAL akan menyediakan tangki statik di kawasan terjejas.
Pengguna juga boleh mendapatkan bekalan air di pusat pengambilan atau melalui penghantaran rumah ke rumah mengikut keperluan.