fb fb fb fb fb

KUSKOP perkasa koperasi pelancongan menjelang TMM 2026

Datuk Ewon Benedick

HULU SELANGOR, 6 Mei- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melancarkan Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) pada 16 Mei depan sebagai inisiatif awal memperkasa koperasi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Menerusinya, sejumlah RM2 juta peruntukan awal akan disalur sebagai suntikan insentif kepada penggiat koperasi pelancongan bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu bagi mempersiap penggiat industri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

"Kita mahu bermula dua tahun lebih awal supaya ada koperasi-koperasi ini yang pada tahun 2026 boleh bersaing dengan resort-resort besar, syarikat-syarikat yang juga berada dalam industri.

"Kita akan lancarkan pada 16 Mei dan sebagainya. Tetapi ini adalah satu inisiatif baru yang kita perkenalkan tahun ini khas untuk kita membantu koperasi pelancongan bagi mempersiapkan mereka menghadapi TMM 2026," katanya selepas menghadiri Program Sembang Santai Koperasi dan Jualan Koperasi MADANI di pekarangan Stadium Mini Kuala Kubu Baharu di sini.

Program itu dihadiri kira-kira 200 ahli koperasi sekitar Selangor.

Jualan MADANI koperasi yang menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus turut dianjurkan.

Selain itu Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar turut hadir ke majlis berkenaan.

Sehingga kini sebanyak 226 Coop Mart telah dibuka di seluruh Selangor melibatkan koperasi sekolah, pengguna, institusi pengajian tinggi dan bukan pengguna.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI