KUALA LUMPUR, 8 Mei-Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) meneruskan kajian tentang tanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan ternakan.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata ia menyokong usaha mengurangkan kebergantungan import negara terhadap sumber makanan.
"Sasaran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ini sebenarnya, kita menyasarkan mengurangkan kadar import ke tahap 30 peratus sebenarnya menjelang 2030.
"Sehingga tahun tersebut, kita tidak akan menjadikan bawang ini 100 peratus tidak diimport secara beransur-ansur, itu sasaran yang ditetapkan tahun 2030, kita menyasarkan 30 peratus pengurangan import," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.
Tambahnya, kajian terbaharu MARDI adalah tanaman tiga jenis bawang yang boleh dituai dalam tempoh 70 hingga 75 hari.
MARDI turut menumpukan kajian sektor penternakan, termasuk ayam kampung dan ayam daging.
Dalam pada itu, katanya bagi petani yang berminat mengusahakan pelbagai jenis tanaman secara komersial boleh menghubungi pihak MARDI, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang.