Kumpulan akhir jemaah haji selamat tiba di tanah air

Foto BERNAMA

SEPANG, 1 Julai – Ketibaan penerbangan akhir KT099 pada pukul 12.10 minit tengah hari membawa 258 jemaah haji negara mengakhiri operasi haji bagi musim 1447H/2026M.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi haji berjalan dengan sangat baik dari tanah air hingga pulang; Tabung Haji persiapan dan perancangan rapi meningkatkan kualiti perkhidmatan.
  • Penambahbaikan seperti Program Haji Lestari, sistem digital MyNiise, dan bas ulang-alik percuma meningkatkan kecekapan serta kemudahan jemaah.
  • Sumbangan agensi keselamatan, Kementerian Kesihatan, Imigresen dan jawatankuasa khas dihargai bagi memastikan kelancaran operasi haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata secara keseluruhannya usaha Tabung Haji dengan persediaan dan perancangan perjalanan operasi yang rapi telah meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan yang lebih baik kepada para jemaah.

“Alhamdulillah, operasi haji, seperti yang telah kita maklumkan sebelum ini, berjalan dengan sangat baik bermula dari tanah air, ketika berada di Tanah Suci, sehinggalah jemaah pulang ke tanah air.

“Secara keseluruhannya, daripada aspek kursus, persiapan, penginapan di Tanah Suci, pengurusan Masyair, sajian makanan, logistik dan kesihatan, semuanya disediakan dengan baik sehingga jemaah kembali ke tanah air.

“Justeru, jawatankuasa khas atau task force ini ditubuhkan bagi menyediakan langkah-langkah dan persediaan yang sewajarnya. Malah, jawatankuasa ini juga telah menyediakan satu perancangan senario mengenai kemungkinan yang bakal berlaku, termasuk intervensi yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan para jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Tambahnya, penambahbaikan seperti Program Haji Lestari, penggunaan sistem digital MyNiise untuk proses pengeluaran visa haji dan penyediaan bas ulang alik secara percuma antara faktor kecemerlangan operasi haji musim ini.

Selain Tabung Haji, beliau turut menghargai kerjasama semua pihak yang terlibat seperti Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen Malaysia yang turut membantu memastikan kelancaran operasi.

Lembaga Tabung Haji menguruskan 31,600 jemaah haji negara pada musim ini dan tamat secara rasmi dengan ketibaan kumpulan terakhir pada hari yang sama pukul 1.05 minit tengah hari.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.