KUALA LUMPUR, 24 Februari- Peruntukan tambahan masing-masing sebanyak RM20 juta bagi geran Rukun Tetangga telah diluluskan bawah inisiatif KRT Progresif untuk tahun ini dan tahun lalu.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menjelaskan, ia bertujuan membangunkan komuniti yang mampan, sejahtera dan progresif yang menjadi tonggak kepada Malaysia MADANI.
Sekali gus, memastikan KRT dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan, sebagai penggerak dan pengantara penting dalam penganjuran program komuniti, kesukarelawanan dan kenegaraan pada peringkat akar umbi.
"Pada tahun yang lalu 2024, sebanyak 152 KRT telah diperkasakan sebagai RT Progresif yang berupaya membangun komuniti mampan dan progresif.
"Pada tahun ini, disasarkan sekurang-kurangnya 300 KRT lagi akan dipilih untuk diperkasakan sebagai RT Progresif dengan penilaian yang terperinci merangkumi penyediaan profil, pemetaan sosial, permohonan projek ekonomi dan kebun komuniti yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat," katanya.
Datuk Aaron menjawab pertanyaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.
Sehingga kini, terdapat sebanyak 8,529 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah ditubuhkan dengan keanggotaan ahli jawatankuasa pelbagai kaum seramai hampir 210,000 orang di seluruh negara.