
KUALA LUMPUR, 13 April – Bagi menangani cabaran krisis tenaga global yang kian meruncing, 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) digesa memperkukuh pelaksanaan perancangan serta penjimatan tenaga di peringkat tempatan dengan kadar segera.
- PBT mesti optima penggunaan tenaga dalam bangunan, fasiliti dan operasi harian secara proaktif dan terancang.
- Tetapkan suhu penyaman udara minimum 24°C dan laksanakan dasar Bekerja Dari Rumah berperingkat untuk kurangkan penggunaan tenaga serta kesesakan.
- Perkukuh amalan harian: padam lampu, komputer dan peralatan elektrik; galakkan pakaian sesuai seperti batik untuk kurangkan penggunaan penyaman udara.
- Tingkatkan penggunaan teknologi hijau, audit tenaga berkala dan kempen komuniti bagi sokong kelestarian serta sasaran pembangunan rendah karbon.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dalam satu siaran media menjelaskan bahawa sebagai agensi yang menyelaras pentadbiran PBT, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited memastikan semua 156 PBT mengambil langkah proaktif dan terancang untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga dalam bangunan, fasiliti dan operasi harian.
“Kerajaan MADANI memimpin melalui teladan serta memastikan perkhidmatan kepada rakyat kekal cemerlang tanpa kompromi. PBT juga perlu memastikan operasi harian dan urusan kaunter berjalan lancar dan efisien bagi memenuhi keperluan rakyat,” tambah beliau.
Langkah penjimatan tenaga yang disyorkan bukan sahaja mengurangkan kos operasi kerajaan, malah menyokong kelestarian alam sekitar serta matlamat pembangunan rendah karbon negara.
Antaranya, semua PBT perlu menetapkan suhu minimum penyaman udara pada 24°C di bangunan dan pejabat, serta melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) secara berperingkat dan terpilih bermula 15 April 2026 bagi mengurangkan penggunaan tenaga, termasuk penggunaan petrol serta kesesakan lalu lintas.
Amalan penjimatan harian juga perlu diperkukuh, seperti mematikan lampu, komputer dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan. Kakitangan digalakkan memakai pakaian yang sesuai dengan iklim tropika seperti batik atau kemeja korporat bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penyaman udara.
Selain itu, PBT perlu meningkatkan penggunaan teknologi hijau seperti panel solar, lampu LED cekap tenaga dan sistem bangunan pintar. Audit tenaga secara berkala serta kempen kesedaran komuniti juga perlu dilaksanakan bagi menggalakkan penjimatan tenaga di premis awam, rumah dan premis perniagaan.
“Penjimatan tenaga di peringkat PBT ialah usaha menyeluruh kerajaan untuk memperkukuh ketahanan negara, di mana setiap penjimatan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan lestari,” menurut kenyataan itu.