fb fb fb fb fb

KPT akan umum mekanisme subsidi pendidikan bagi kumpulan T15

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) ketika hadir pada Perasmian Program Pemerkasaan Wanita Peringkat Parlimen Lumut di Dewan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Perak/ BERNAMA

MANJUNG, 19 Oktober- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengumumkan mekanisme pelaksanaan pengurangan subsidi pendidikan bagi kumpulan T15 membabitkan penuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelaksaaan kadar baharu itu akan mengambil kira pelbagai faktor bukan kedudukan kadar pendapatan semata-mata.

Pihaknya juga bersama-sama kementerian berkaitan akan memperhalusi mengenai perkara itu supaya tidak membebankan golongan berkenaan.

"Tentang kenaikan bagi mereka yang berada dalam T15 ini yang telahpun kita lihat dari segi kumpulan pendapatan mereka. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyebutkan bahawa ia bukan merupakan satu kehilangan mutlak.

"... iaitu hanya bagi mereka yang berpendapatan ini manakala kita tidak mengambil kira faktor-faktor lain sebagai contoh bilangan isi keluarga dan sebagainya. Jadi semua itu akan diambil kira dan ianya akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perasmian Program Pemerkasaan Wanita Peringkat Parlimen Lumut di Dewan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Perak, di sini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat, Anwar berkata kerajaan bercadang mengenakan sedikit kenaikan yuran sekolah berasrama penuh (SBP) dan IPTA kepada kumpulan T15.

Dalam oerkembangan lain, peningkatan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam melahirkan lebih ramai jurutera dalam bidang Elektrikal dan Elektronik (E&E) dilihat membantu memperkasa agenda pembangunan bumiputera di negara ini.

Zambry berkata, menerusi peruntukan tambahan itu, beliau yakin ia mampu melahirkan dua kali ganda jumlah graduan dalam bidang E&E berikutan negara kekurangan bakat dalam bidang berkenaan bagi memenuhi keperluan industri.

"Jadi kita mengharapkan mungkin akan bertambah dua kali ganda daripada itu. Selain daripada IPTA DAN juga di peringkat politeknik, kita pun memperkenalkan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang ini.

"Tambahan pula Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut supaya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) juga boleh memperkenalkan program-program E&E," katanya.

Sebelum ini Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut memaklumkan berkenaan jangkaan negara mengalami kekurangan sehingga 1,300 orang bakat jurutera dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) setahun.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI