fb fb fb fb fb

KPN ucap takziah kepada keluarga Tun Hanif Omar

Foto: FB PDRM

KUALA LUMPUR , 20 April - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain mewakili keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan takziah kepada keluarga bekas KPN, Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia awal pagi tadi.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi PDRM hari ini.

Menerusi hantaran itu, beliau berkata Mohammed Hanif, 85, meninggal dunia akibat sakit buah pinggang dan anaknya Abdul Rahmat Omar mengesahkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 2.15 pagi di kediamannya di Shah Alam, Selangor.

Jenazah difahamkan akan dibawa ke Masjid Negara dan dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Zohor hari ini.

Allahyarham merupakan KPN keempat dan memegang jawatan itu selama 20 tahun bermula 1974 sebelum bersara pada Januari 1994.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI