fb fb fb fb fb

KPDN tidak bercadang untuk meletakkan harga siling sayur

Timbalan Menteri, Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR, 18 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau penjualan bekalan sayur-sayuran memandangkan kementerian berkenaan tidak bercadang untuk meletakkan harga siling.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata tindakan akan diambil berdasarkan undang-undang pencatutan terhadap peniaga yang menaikkan harga sayur-sayuran secara melampau.

"Kita perlu faham rantaian bekalan itu, ia bermula dari penanam sayur dan kos pengeluaran pekebun, pengangkutan, harga borong, harga runcit sepanjang rantaian itu.

"Jadi KPDN tidak mengenakan sekatan ataupun harga siling terhadap sayur, tetapi kita pantau supaya tidak berlaku pencatutan", katanya kepada pemberita di sini.

Tambah beliau, pihaknya turut mengingatkan peniaga khususnya yang menjual sayur-sayuran tidak melakukan kesalahan mencatut berikutan perkembangan terbabit.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditanya berhubung jangkaan kenaikan harga sayur sehingga 25 peratus di pasaran susulan bekalan itu yang diramal terjejas.

Terdahulu, beliau melancarkan program Malaysia Save Food (MySaveFood) Ramadan 2024 Peringkat Kebangsaan dan meninjau Bazar Ramadan Rahmah di ibu negara.

Mengulas penganjuran MySaveFood, jelas beliau sebanyak 75 bazar di 11 negeri termasuk Wilayah Persekutuan terlibat dalam projek itu yang turut digerakkan oleh Pengguna Siswa dari 35 universiti termasuk 19 universiti awam.

Melalui program tersebut, pada hari pertama ramadan telah berjaya mengumpul sebanyak 429.8 kilogram (kg) makanan dari tiga bazar ramadan, manakala di Kampong Bharu, sebanyak 426.4 kg makanan berjaya diselamatkan.

ROSLINA BINTI DIN