fb fb fb fb fb

KPDN perkemas mekanisme kawalan subsidi minyak masak elak ketirisan

Foto fail

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan penambahbaikan lebih tegas ke atas mekanisme kawalan harga dan subsidi minyak masak bagi membanteras ketirisan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu susulan dapatan Laporan Ketua Audit Negara Bil. 2/2025 yang membabitkan audit Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) bagi tempoh 2019 hingga 2024.

“Dapatan LKAN ini mengesahkan penemuan pasukan naziran khas KPDN yang mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

Bantuan subsidi minyak masak perlu diteruskan untuk tangani kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, penambahbaikan akan menumpukan kepada tiga kerangka utama.

Ia membabitkan kejelasan dasar berasaskan had siling kuota 60,000 metrik tan sebulan, pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan dan pemantapan mekanisme pengurusan risiko ketirisan serta penguatkuasaan.

"Antara fokus utama dasar dan SOP pelaksanaan adalah untuk memastikan 60,000 metrik tan minyak masak paket 1 kg berada di pasaran dan dijual pada harga RM2.50 sekilogram," katanya.

Jelas beliau, KPDN sentiasa melaksanakan strategi untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan.

"Untuk tujuan itu, KPDN telah merintis Sistem eCOSS bagi memantau rantaian pembekalan daripada syarikat pembungkus hingga peruncit termasuk tuntutan subsidi.

Sistem itu dibangunkan sejak 2023 dan digunakan sepenuhnya pada 2024," ujar beliau lagi.

Bermula Mei lalu, KPDN turut merintis pelaksanaan Aplikasi Sistem Mobile eCOSS melalui Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Johor bagi menambah baik kawalan penjualan di peringkat runcit.

Melalui aplikasi itu, rekod jualan dan data pembelian pengguna akan dipantau berasaskan data Jabatan Pendaftaran Negara.

Inisiatif itu sekali gus membolehkan tindakan ke atas penjualan melebihi had serta kepada warga asing.

“KPDN komited melaksanakan penambahbaikan menyeluruh untuk pastikan subsidi sampai kepada golongan sasar dan membanteras ketirisan,” tegas Datuk Armizan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN