fb fb fb fb fb

KPDN pantau aktiviti pencatutan melalui Ops Kesan 2.0

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil serius terhadap beberapa kenyataan pihak industri yang akan menaikkan harga perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula semalam.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementeriannya sedang melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan melalui Ops Kesan 2.0 yang bermula pada 8 Jun lalu.

"Sebarang aduan melalui platform-platform yang disediakan akan dilaksanakan berpandukan kepada Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan-kenyataan yang tularl di media sosial, KPDN akan membuat siasatan segera meliputi dua aspek.

Pertama, bagi sektor yang tidak termasuk dalam 33 jenis pengangkutan awam dan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Katanya, seperti perkhidmatan tunda kenderaan dan penghantaran barangan binaan, KPDN akan mengeluarkan notis kepada pihak-pihak terbabit.

"Serahan notis akan dilaksana di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk memastikan tidak berlakunya pelarasan harga yang mempunyai elemen pencatutan," katanya.

Kedua, sektor industri seperti pembinaan yang sememangnya sejak dari dahulu tidak layak menggunakan diesel subsidi sebelum penyasaran subsidi dilaksanakan pada 10 Jun 2024.

Jelasnya, KPDN akan melaksanakan siasatan alasan mereka perlu menaikkan harga perkhidmatan sekarang.

"Ini termasuk siasatan kemungkinan mereka mendapatkan sumber diesel bersubsidi secara tidak sah sebelum ini," ujarnya lagi.

Semalam, kerajaan menetapkan harga diesel di semua stesen runcit Semenangjung pada kadar RM3.35 bagi setiap liter.

Penetapan itu merupakan harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

GRACE AISYAH KEDAYAN