
LABUAN, 31 Mac – Sebanyak 372 pemerikasaan premis berjaya dilaksanakan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
- 113 pemeriksaan semasa SHMMP Tahun Baharu Cina dan 259 sepanjang SHMMP Hari Raya Puasa.
- Empat tindakan kes diambil terhadap peniaga kerana gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal.
- Kesalahan di bawah Perintah Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
- Pematuhan peniaga secara keseluruhan memberangsangkan; tiada aduan diterima, menunjukkan keberkesanan usaha advokasi penguatkuasa.
Daripada jumlah itu, 113 pemeriksaan dijalankan semasa SHMMP Tahun Baharu Cina, manakala 259 pemeriksaan lagi dilaksanakan sepanjang SHMMP Hari Raya Puasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Junaidah Arbain dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak empat tindakan kes telah diambil terhadap peniaga atas kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.
“Kesalahan tersebut merupakan Pelanggaran bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723],” jelasnya.
Walaupun terdapat beberapa pelanggaran direkodkan, tahap pematuhan dalam kalangan peniaga secara keseluruhannya adalah memberangsangkan.
Dalam pada itu, tiada sebarang aduan diterima sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina yang berlangsung dari 13 hingga 21 Februari, serta SHMMP Hari Raya Puasa dari 14 hingga 28 Mac lalu.
Menurut beliau, situasi itu membuktikan keberkesanan usaha advokasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa sebelum penguatkuasaan skim tersebut, sekali gus memastikan majoriti peniaga memahami dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.