
ALOR SETAR, 25 Mei – Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melakar sejarah gilang-gemilang di pentas antarabangsa selepas berjaya merangkul keseluruhan 32 pingat di World Chefs Championship 2026 (WCC 2026).
- Pasukan Kolej KEDA seramai 22 peserta (2 tenaga pengajar, 20 pelajar) berjaya membawa pulang pelbagai pingat termasuk Excellent Gold, emas, perak, gangsa.
- Menang dalam pelbagai kategori seperti Free Style Cookies, ukiran buah sayur, Thai Modern, Spaghetti Challenge, Char Kuetiau, rendang dan Teh Tarik Freestyle.
- Pengalaman pertandingan meningkatkan kreativiti, teknik, kebersihan dapur serta keyakinan dan kebolehpasaran graduan luar bandar di peringkat global.
KEDA dalam kenyataan memaklumkan, kejayaan diperoleh menerusi pertandingan bertaraf dunia anjuran Malaysia Culinary Masters Association (MCMA) di Persada Johor International Convention Centre bermula 21 hingga 23 Mei lalu itu disertai 2,389 penggiat kulinari dari 42 buah negara termasuk kuasa besar kulinari seperti Amerika Syarikat, China,
Australia, dan Singapura.
“Kejayaan tersebut amat membanggakan memandangkan para pelajar bukan sahaja diuji dari aspek kreativiti dan rasa, malah dari ketepatan teknik masakan moden dan tradisional serta kebersihan di dapur. Ia meletakkan KEDA sebagai antara kontinjen paling digeruni sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung.
“Kolej KEDA yang mempertaruhkan seramai 22 peserta terdiri daripada dua tenaga pengajar dan 20 pelajar berhasil membawa pulang koleksi pingat yang amat membanggakan iaitu dua Excellent Gold; 10 emas; 19 (perak); dan satu (gangsa),” menurut kenyataan itu.
Antara kategori kompetitif yang dimenangi termasuk Free Style Cookies, Team Fruit or Vegetable Carving, Thai Modern Main Course, Spaghetti Challenge, Char Kuetiau, masakan tradisional seperti Kurma Daging dan Rendang Ayam, serta seni pembuatan minuman seperti Teh Tarik Freestyle.
Platform tersebut nyata berjaya mengasah bakat serta membina tahap keyakinan diri yang tinggi dalam kalangan pelajar Kolej KEDA, sekali gus membuktikan kebolehpasaran graduan luar bandar dalam bidang hospitaliti dan seni kulinari di peringkat global.
“Pihak pengurusan KEDA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh barisan peserta dan tenaga pengajar atas usaha, dedikasi serta semangat juang luar biasa yang ditunjukkan demi mengharumkan nama kolej dan negara di persada dunia,” tambah kenyataan itu.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengurus Besar KEDA, Afifah Omar; Pengarah Kolej KEDA, Che Ridzuan Mohamad Isa; dan Penolong Pengarah Kolej KEDA, Noor Shahida Jamil.