
KUALA TERENGGANU, 25 Mei – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan insiden melibatkan tiga pekerja kontraktornya maut manakala seorang lagi cedera parah semasa kerja penyelenggaraan bot penyelamat di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan pada Ahad.
- Tiga pekerja kontraktor maut; seorang cedera parah semasa penyelenggaraan bot penyelamat di platform FSO Sepat.
- Siasatan punca insiden sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
- Petronas memberi perhatian kebajikan pihak terkesan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Menerusi kenyataan, Petronas memaklumkan siasatan berhubung punca insiden sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan.
“Keutamaan segera syarikat ketika ini adalah untuk memastikan kebajikan semua pihak yang terkesan terus diberi perhatian dan sokongan.
“Petronas turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan-rakan serta rakan sekerja mangsa yang terkorban,” menurut kenyataan itu.
Kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang lagi mangsa cedera parah akibat patah tulang dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Insiden kira-kira pukul 12.50 tengah hari pada Ahad itu berlaku semasa kerja-kerja penyelenggaraan bot penyelamat di FSO Sepat, yang terletak di medan Sepat di luar pantai Terengganu, luar pesisir Pantai Timur Semenanjung Malaysia.