KESUMA agih 16,500 bakul makanan ke seluruh negara

Menteri Sumber Manusia, Datuk Ramanan Ramakrishnan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penerima

KEPONG, 14 Mac- Sebanyak 16,500 bakul makanan diagih Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) ke seluruh negara sebagai intervensi awal membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan ‘badai ekonomi’ semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bakul makanan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan santan.
  • Program menzahirkan kebersamaan kerajaan menjaga kebajikan semua rakyat termasuk membantu persiapan umat Islam menjelang Aidilfitri.
  • Kerajaan tunjuk contoh berjimat dengan membatalkan rumah terbuka Aidilfitri serta laksanakan inisiatif seperti Kampung Angkat dan Sekolah Angkat.

Menterinya, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, bakul makanan itu mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan santan.

“Kita mahu impak penyaluran bantuan dirasai secara langsung oleh rakyat, terutama dalam mendepani cabaran kos sara hidup dan ‘badai ekonomi’ semasa.

Sebanyak 16,500 bakul makanan ini akan diagihkan kepada penerima di seluruh negara, termasuk umat Islam bagi membantu persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Flag Off Sumbangan Bakul Makanan Ziarah MADANI Sempena Aidilfitri, di sini.

Tambah beliau, program berkenaan turut membawa mesej kebersamaan bahawa setiap lapisan masyarakat sentiasa berada dalam radar keprihatinan kerajaan.

Malah, kehadiran jentera bantuan yang digerakkan adalah bukti bahawa prinsip kebajikan rakyat diutamakan tanpa ada kelompok yang tersisih.

“Semangat perpaduan dan saling menjaga kebajikan tanpa mengira latar belakang kaum merupakan kekuatan sebenar negara dalam menghadapi rintangan ekonomi,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, keputusan tidak mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri kerajaan dibuat sebagai langkah penjimatan.

Malah Datuk Ramanan menyeru rakyat supaya tidak mempolemikkan perkara tersebut.

“Jika kita minta rakyat berjimat dan berbelanja secara berhemah, kerajaan juga perlu menunjukkan contoh yang sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kadar kemiskinan tegar nasional terus menurun kepada 0.09 peratus pada 2024, berbanding 0.2 peratus pada 2023.

Menurutnya, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menoktahkannya termasuk Kampung Angkat, Sekolah Angkat dan Program Sejati MADANI.