fb fb fb fb fb

Kes penyalahgunaan dadah di Kedah meningkat 17.3 peratus

Dr Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR, 20 November- Kedah merekodkan 17,278 tangkapan kes penyalahgunaan dadah setakat Ogos 2024, meningkat 17.3 peratus berbanding 14,284 kes sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, daerah Pendang mencatatkan 1,116 kes tangkapan sehingga Ogos.

Beliau turut menjelaskan statistik klien rawatan dan pemulihan dadah di Pendang melibatkan 462 individu, sebahagian daripada keseluruhan 5,960 klien yang sedang menjalani rawatan di seluruh Kedah setakat September lalu.

"Di Pendang, statistik menunjukkan klien rawatan pemulihan dalam komuniti berumur antara 19 hingga 39 tahun. Dari segi komposisi kaum, 454 klien adalah daripada bangsa Melayu, manakala selebihnya, iaitu lapan orang, terdiri daripada kaum lain," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim di Dewan Rakyat hari ini.

Peningkatan kes tersebut mencerminkan keperluan berterusan untuk penguatkuasaan dan program pemulihan dalam komuniti bagi membanteras isu penyalahgunaan dadah di negeri itu.

SITI AISHAH MD ISA