
TEHRAN/AMMAN, 2 September – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada malam Selasa berkata pihaknya mula melancarkan serangan terhadap pangkalan dan aset Amerika Syarikat (AS) di rantau itu sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas wilayah selatan Iran pada awal hari berkenaan yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan lebih 50 yang lain, lapor Xinhua.
- IRGC berkata sistem pertahanan udaranya menembak jatuh dron MQ-9 Reaper yang dianggap ancaman.
- Pasukan aeroangkasa IRGC lancar peluru berpandu dan serangan dron ke atas Kem Titin Jordan dan Pangkalan Udara Shaikh Isa Bahrain.
- Tentera Jordan memintas 10 daripada 13 peluru berpandu; letupan dilaporkan di beberapa wilayah selatan dan markas tentera Iran mengancam serangan balas menghancurkan.
Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi saluran berita rasminya Sepah News, IRGC berkata tindak balas telah bermula, sambil memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya menembak jatuh dron MQ-9 Reaper AS yang dianggap sebagai ancaman.
Pasukan aeroangkasa IRGC turut melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron ke atas Kem Titin di Jordan dan Pangkalan Udara Shaikh Isa di Bahrain, yang dilaporkan mengorbankan “sejumlah besar” anggota tentera AS serta memusnahkan beberapa kemudahan utama dan helikopter tempur.
IRGC menegaskan bahawa serangan AS hanya akan memanjangkan penutupan Selat Hormuz dan meningkatkan tekad angkatan tentera Iran untuk “mengekang pasukan asing yang campur tangan di laluan perairan itu”.
Menurut IRGC, serangan itu bermula selepas AS mengebom beberapa lokasi awam di pesisir selatan Iran dan sebagai tindak balas terhadap serangan maut AS ke atas sebuah majlis perkahwinan di wilayah Hormozgan.
Angkatan Tentera Jordan-Tentera Arab Jordan (JAF) kemudian berkata sistem pertahanan udara negara itu pada petang Selasa memintas dan memusnahkan 10 daripada 13 peluru berpandu balistik yang memasuki ruang udara Jordan dari Iran dalam beberapa jam sebelumnya.
Tiga lagi peluru berpandu jatuh di kawasan terpencil jauh dari pusat penempatan penduduk, tanpa sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan, menurut kenyataan JAF.
Agensi berita Fars memetik Timbalan Gabenor Hormozgan bagi Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Ahmad Nafisi sebagai berkata sekurang-kurangnya lima orang termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan seorang wanita terbunuh, manakala lebih 50 yang lain cedera dalam serangan AS yang menyasarkan majlis perkahwinan di daerah Sirik.
Letupan kedengaran di beberapa wilayah selatan Iran pada petang Selasa ketika Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), menerusi hantaran di platform media sosial X, mengumumkan bermulanya serangan terhadap sasaran IRGC.
Media Iran melaporkan letupan kedengaran di daerah Sirik, Bandar Abbas, Qeshm dan Jask di Hormozgan, Konarak dan Chabahar di wilayah Sistan dan Baluchestan, Jiroft di wilayah Kerman serta Asaluyeh di wilayah Bushehr.
Markas Pusat Khatam al-Anbiya, yang merupakan markas utama ketenteraan Iran, berkata dalam satu kenyataan bahawa sebagai tindak balas terhadap “pencerobohan udara” AS, angkatan tentera Iran akan melancarkan serangan “yang menghancurkan dan memusnahkan” terhadap Amerika Syarikat.
— BERNAMA-XINHUA