Merdeka daripada mitos kesihatan, harus bijak menilai maklumat kesihatan digital

Gambar hiasan janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • AI dan deepfake boleh memanipulasi wajah dan suara pakar bagi mempromosikan produk kesihatan palsu.
  • Maklumat sensasi tersebar lebih pantas daripada bukti saintifik, mencetuskan infodemic dan risiko keputusan kesihatan yang salah.
  • Amalkan "Saring Sebelum Kongsi": semak sumber rasmi seperti KKM dan WHO sebelum menyebarkan maklumat.
  • Jika ragu, rujuk doktor atau ahli farmasi berdaftar; literasi maklumat digital ialah perlindungan kesihatan.

Saban tahun, sambutan Hari Kebangsaan diraikan dengan penuh semangat bagi memperingati perjuangan tokoh terdahulu yang membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan fizikal.

Namun, seiring perubahan zaman dan ledakan teknologi maklumat, muncul bentuk ancaman baharu yang menyelinap dalam kehidupan masyarakat. Penjajahan masa kini tidak lagi hadir melalui senjata atau kuasa tentera, sebaliknya menerusi skrin telefon pintar.

Dalam ekosistem komunikasi digital yang semakin terbuka, masyarakat kini berdepan penjajahan minda melalui penyebaran maklumat palsu, termasuk mitos kesihatan yang menular tanpa sempadan.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan, perkataan merdeka lazimnya dikaitkan dengan kebebasan, perpaduan dan identiti negara. Namun, dalam konteks dunia digital, kemerdekaan turut bermakna bebas daripada mempercayai maklumat kesihatan yang tidak tepat, mengelirukan atau dimanipulasi.

Hari ini, masyarakat mempunyai akses luas kepada pelbagai maklumat kesihatan melalui platform media sosial, enjin carian dan aplikasi kecerdasan buatan (AI). Persoalannya, sejauh manakah maklumat yang diterima benar-benar boleh dipercayai?

Hakikat Ancaman Teknologi AI

Perkembangan teknologi digital telah mengubah landskap komunikasi kesihatan. Jika dahulu masyarakat mendapatkan maklumat melalui doktor, ahli farmasi, risalah kesihatan bercetak, dan program kesihatan di televisyen, kini pelbagai maklumat berkaitan penyakit, pemakanan, ubat-ubatan dan gaya hidup sihat boleh diperoleh dengan mudah melalui TikTok, Facebook, YouTube, Google dan aplikasi AI.

Namun, kemudahan ini turut membuka ruang kepada penyebaran mitos, dakwaan tidak berasas dan maklumat kesihatan yang tidak disahkan.

Isu ini bukan lagi sekadar andaian, sebaliknya realiti yang membimbangkan. Pada Jun 2025, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran rasmi mengenai video yang menggunakan teknologi AI dan menyalahgunakan identiti Ketua Setiausaha KKM bagi mempromosikan produk penjagaan diabetes yang tidak diiktiraf.

KKM menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan memastikan produk kesihatan yang digunakan berdaftar dan diperoleh daripada sumber yang sah.

Lebih membimbangkan, pada Ogos 2026, media melaporkan penggunaan teknologi deepfake yang memanipulasi wajah dan suara seorang pakar kardiologi bagi mempromosikan teh herba yang didakwa mampu mengawal diabetes tanpa ubat dan suntikan.

Kes ini menunjukkan bagaimana AI bukan sahaja memudahkan komunikasi digital, malah boleh disalahgunakan untuk menghasilkan kandungan palsu yang mempengaruhi persepsi dan keputusan masyarakat.

Maklumat Sensasi Mengatasi Sains Kesihatan

Dalam dunia maya yang bergerak pantas, maklumat tersebar tanpa sempadan. Aplikasi pemesajan seperti WhatsApp dan Telegram serta platform media sosial menjadi medium utama penyebaran dakwaan perubatan yang tidak berasaskan bukti saintifik.

Dakwaan seperti “penawar ajaib” yang kononnya mampu menyembuhkan penyakit kronik seperti kencing manis dan kanser secara serta-merta, serta petua “detoks” menggunakan sumplemen tertentu, mudah menarik perhatian masyarakat.

Malah, propaganda antirawatan moden dan ketakutan terhadap vaksin turut tersebar dengan pelbagai gambaran yang mengelirukan. Lambakan maklumat mencetuskan fenomena infodemic, iaitu keadaan apabila fakta dan maklumat palsu bercampur terlalu banyak sehingga menyukarkan masyarakat membuat keputusan yang tepat.

Keadaan ini boleh mengancam keselamatan awam apabila keputusan berkaitan kesihatan dibuat berdasarkan maklumat tular, bukannya bukti saintifik yang sahih.
Oleh itu, masyarakat perlu memahami cara maklumat kesihatan digital dihasilkan dan disebarkan.

Kebanyakan mitos kesihatan direka khusus untuk menarik perhatian dan mengekspoitasi emosi pengguna seperti “dijamin sembuh 100 peratus tanpa kesan sampingan” atau “rahsia yang disembunyikan pihak hospital” bagi mencetuskan rasa ingin tahu dan kebimbangan.

Testimoni individu, tangkapan skrin yang tidak dapat disahkan, gambar sebelum dan selepas, serta video pendek yang disunting turut digunakan untuk menjadikan dakwaan tersebut lebih meyakinkan.

Pada masa sama, algoritma media sosial cenderung memaparkan kandungan yang mendapat perhatian tinggi, menyebabkan maklumat sensasi lebih mudah tersebar berbanding penjelasan saintifik yang lebih berhati-hati.

Saring Sebelum Kongsi: Etika Komunikasi Digital

Justeru, langkah pertama untuk membebaskan diri daripada belenggu mitos kesihatan ialah memperkukuh literasi maklumat dan etika komunikasi digital. Setiap pengguna perlu membiasakan diri menyemak sumber asal sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

Maklumat kesihatan seharusnya dirujuk kepada sumber yang berautoriti atau institusi kesihatan rasmi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Portal rasmi seperti MyHEALTH KKM juga menyediakan maklumat yang telah disaring secara saintifik dan selamat untuk dijadikan rujukan utama. Dalam era komunikasi digital, keupayaan menilai sumber merupakan satu bentuk perlindungan diri yang sama pentingnya dengan menjaga kesihatan fizikal.

Selain itu, amalan “Saring Sebelum Kongsi” juga wajar dijadikan disiplin harian dalam masyarakat. Pertama, henti sebar mesej berantai, rantaian mitos hanya akan terputus apabila pengguna menahan diri daripada memajukan (forward) mesej atau video tular yang diragui kesahihannya kepada keluarga atau rakan-rakan.

Kedua, lindungi nyawa orang lain, satu mesej yang dikongsi tanpa semakan mungkin kelihatan tidak berbahaya, namun kesannya boleh menjadi besar apabila ia mempengaruhi keputusan kesihatan orang lain.

Bayangkan jika seseorang menghentikan pengambilan ubat yang telah dipreskripsikan semata-mata kerana mempercayai video tular yang menjanjikan rawatan alternatif. Risiko tersebut bukan sahaja melibatkan individu, malah turut memberi kesan kepada keluarga dan komuniti.

Ketiga, sekiranya timbul sebarang keraguan mengenai sesuatu petua atau produk kesihatan, langkah terbaik adalah berunding secara bersemuka dengan doktor atau ahli farmasi berdaftar.

Kemerdekaan Hakiki dalam Era Maklumat

Teknologi AI menjadi sebahagian daripada masa depan komunikasi digital dengan membantu mempercepatkan penyampaian dan meningkatkan akses kepada maklumat kesihatan.

Namun, kecanggihan teknologi tidak menjamin kesahihan maklumat. Oleh itu, maklumat kesihatan perlu disokong oleh bukti saintifik, semakan pakar dan sumber yang dipercayai.

Kemerdekaan dalam era digital bukan sekadar kebebasan mengakses maklumat, tetapi keupayaan untuk menilai dan membuat keputusan berdasarkan fakta yang sahih.

Sempena Hari Kebangsaan, marilah kita merdekakan minda daripada mitos kesihatan digital dengan mengutamakan fakta, berfikir secara kritis dan mengamalkan komunikasi digital yang beretika demi masyarakat Malaysia yang celik digital, sihat dan sejahtera.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Noratikah Nordin
Pensyarah
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia
E-mel: noratikahnordin@usm.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.