
KUALA LUMPUR, 17 Januari – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menyeru sektor swasta dan persatuan profesional untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi meningkatkan kualiti kemudahan awam di ibu negara.
- Seru kerjasama swasta dan persatuan profesional bagi tingkatkan kualiti kemudahan awam di Kuala Lumpur.
- Perlu sokongan padu pemegang taruh untuk laksanakan pelan pembangunan dengan lebih berkesan.
- Hannah jemput ahli profesional bantu percepat transformasi Kuala Lumpur meskipun terhad masa.
Jelas Hannah, kerajaan memerlukan sokongan padu daripada pemegang taruh untuk melaksanakan pelan pembangunan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, memandangkan beliau baharu memegang portfolio tersebut, kekangan masa menjadi cabaran utama dalam merealisasikan visi transformasi Kuala Lumpur.
“Biasanya, ahli politik mempunyai masa antara tiga hingga lima tahun untuk melaksanakan visi mereka.
“Namun, saya mungkin tidak mempunyai masa sebanyak itu kerana baharu memegang jawatan ini.
“Inilah sebabnya saya menjemput ahli profesional untuk bekerja bersama saya bagi memulihkan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF) 2026 anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) di sini.