
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kerjasama rentas kementerian, agensi dan industri kekal dilaksana bagi memastikan kurikulum pendidikan tinggi kekal relevan dan selari dengan keperluan tenaga kerja semasa.
- Kerjasama antara kementerian, agensi dan industri memastikan kurikulum pendidikan tinggi responsif kepada keperluan pasaran kerja.
- Akreditasi MQA digunakan sebagai penanda aras untuk memastikan program dikemas kini dan mematuhi piawaian berkala.
- KPT bekerjasama dengan Majlis Pekerjaan Negara dan Majlis TVET Negara untuk menangani isu mismatch dan merancang keperluan tenaga kerja masa depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen memastikan sistem pendidikan tinggi negara bersifat responsif terhadap keperluan semasa industri dan pasaran kerja sebenar.
Tambahnya, akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menjadi indikator di setiap institusi pengajian tinggi bagi memastikan setiap program mematuhi piawaian dan ditambah baik secara berkala.
“Dunia hari ini berubah dan sangat pantas, begitu juga dengan perkembangan teknologi. Dalam sektor TVET sebagai contoh juga menjadi tunjang kepada keperluan industri ini. Pendekatan perlu responsif dan berpandangan jauh supaya tidak ketinggalan dalam arus perubahan ini.
“KPT dalam hal ini sentiasa bekerjasama dengan industri melalui platform Majlis Pekerjaan Negara, Majlis TVET Negara untuk membincangkan sekiranya ada masalah mismatch, tenaga kerja, peluang pekerjaan graduan dan merancang keperluan tenaga kerja masa hadapan yang sejajar dengan kehendak pasaran sebenar.
“Kita bukan lagi di landasan IR 4.0, malah kita sedang merangka perubahan ke hadapan kepada industi 5.0 seperti termaktub dalam pelan pembangunan pendidikan tinggi negara”, katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Idris Ahmad (Bagan Serai) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyelaras dan menambah baik silibus kurikulum supaya selari dengan keperluan semasa industri bagi memastikan sistem pendidikan tinggi terus relevan dalam era IR 4.0.