KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Projek Rintis Badan Pendamai Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dilancar sebagai satu inisiatif bersepadu dalam mengurus krisis perkahwinan dan penceraian bagi pasangan bukan Islam di negara secara lebih efektif.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata projek yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu menunjukkan keberkesanan ketara, apabila kadar pendamaian meningkat kepada 16 peratus berbanding 2 peratus, sebelum ini.
"Dalam tempoh tiga tahun, tekad kita adalah untuk meluaskan projek rintis ini ke seluruh negara."
"LPPKN akan membangunkan model atau garis panduan standard bagi Badan Pendamai yang akan dijadikan rujukan," kata Datuk Seri Saifuddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) projek tersebut di ibu negara.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Melalui kerjasama itu, LPPKN akan menjadi rakan strategik pertama kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam menubuhkan badan pendamai di bawah Seksyen 106 Akta Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian 1976.
Projek berkenaan akan menjadi ruang pra-perundangan untuk membantu pasangan mencari penyelesaian sebelum kes difailkan di mahkamah, selain menyediakan platform kaunseling yang lebih kondusif.
Setakat ini, LPPKN mempunyai 60 pegawai kaunselor bertauliah bagi melaksanakan tugas pendamaian di seluruh negara.
