KUANTAN, 20 Julai - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan mulai Ogos ini, bagi melaksanakan pemeriksaan keselamatan terhadap bas yang dimiliki atau disewa institusi berkenaan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pemeriksaan akan dijalankan mengikut spesifikasi teknikal yang ditetapkan JPJ, untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
"Mulai Ogos ini, kita akan menggerakkan JPJ negeri untuk menjalinkan kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan lain, termasuk sekolah berasrama penuh, yang memiliki atau menyewa bas bagi urusan pengangkutan pelajar," katanya.
Tambah beliau, tumpuan bukan hanya diberikan kepada bas ekspres dan bas persiaran, malah turut merangkumi bas yang digunakan oleh pusat pengajian dan sekolah untuk membawa pelajar, termasuk semasa cuti persekolahan.
Menurut Datuk Aedy, sebaik kerjasama dimeterai, pasukan teknikal dan penguat kuasa JPJ akan digerakkan secara berperingkat untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan penyelenggaraan ke atas kenderaan terbabit.
Selain itu, pemandu bas juga akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan kelayakan memandu sebelum dibenarkan bertugas, bagi menjamin keselamatan pelajar sepanjang perjalanan.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Pahang di sini, hari ini.
Dalam program tersebut, seramai 940 peserta berjaya menamatkan latihan dan ujian lesen memandu masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, JPJ turut mempertimbangkan tindakan menggantung atau membatalkan lesen penunggang motosikal yang diperoleh melalui Program MyLesen B2 sekiranya didapati melanggar undang-undang.