fb fb fb fb fb

Kerjasama ASEAN-Brazil berpotensi besar teroka peluang baharu

KUALA LUMPUR, 8 Julai -Kerjasama ASEAN dan Brazil berpotensi besar dalam meneroka peluang baharu serta memperkukuh kerjasama sedia ada dalam bidang-bidang strategik.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, kerjasama tersebut tidak hanya tertumpu kepada aspek perdagangan, malah merangkumi pelbagai bidang utama termasuk perubahan iklim, keselamatan udara dan ekonomi digital.

Ia sejajar agenda kelestarian dan Misi Komuniti ASEAN untuk tempoh 20 tahun akan datang.

"Kerjasama ASEAN dan Brazil yang sudah terjalin sebelum ini telah menunjukkan beberapa perkembangan positif yang nyata.

Antaranya, peningkatan hubungan sektor perniagaan, kerjasama dalam projek tenaga boleh baharu yang diterajui oleh Brazil di rantau Asia Tenggara dan inisiatif pembangunan kapasiti dalam bidang pertanian dan keselamatan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan mesyuarat tiga hala antara Malaysia, Brazil dan Sekretariat ASEAN sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM), di sini.

Turut hadir Setiausaha Agung Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brazil, Maria Laura da Rocha dan Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN, Datuk Astanah Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan terbuka dan membina bersama Brazil.

Langkah ini bertujuan merangka tindakan konkrit ASEAN-Brazil ke arah merealisasikan matlamat bersama dalam masa terdekat.

"Justeru, pengalaman Brazil dalam bidang-bidang berkaitan menjadikannya rakan strategik penting dalam memperkukuh hala tuju ASEAN," katanya lagi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN