fb fb fb fb fb

Kerani akaun didakwa atas 133 pertuduhan pecah amanah

Tertuduh membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Sharmila Abdul Samad

GEORGE TOWN, 28 Disember - Seorang kerani akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town, atas 133 pertuduhan pecah amanah wang sebuah syarikat penguji ketulenan emas antara Oktober 2019 hingga Mei 2021.

Tertuduh, Teh Ya Ling, berusia 41 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu memegang jawatan sebagai kerani akaun di syarikat berkenaan didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang syarikat berjumlah RM445,815 ke dalam akaun bank RHB miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Jalan Sungai dalam Derah Timur Laut antara 18 Oktober 2019 hingga 31 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 14 tahun dan denda.

Sharmila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 bagi setiap pertuduhan yang menjadikan keseluruhan sebanyak RM66,500 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 9 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Teoh Kung Yu.

TETITIA YUSOFF