fb fb fb fb fb

Kerajaan tolak campur tangan asing dalam pembiayaan politik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Semua pihak yang terlibat dalam cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik sebulat suara menolak penerimaan dana asing bagi pembiayaan kempen parti politik di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan pemimpin dan parti politik tidak dipengaruhi oleh kuasa luar.

“Semua bersetuju untuk tidak membenarkan penderma asing kerana tidak mahu pengaruh dari luar. Bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula, terdapat perbezaan pandangan kerana Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perolehan (KRPPM) serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) melihat isu ini dari sudut pengaruh yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sesi Libat Urus Berkaitan Penetapan Dasar bagi Penggubalan RUU Pendanaan Politik di ibu negara.

Menurut Azalina, kerajaan akan mengkaji tiga aspek utama dalam isu penerimaan dana politik di bawah RUU tersebut, iaitu parti politik, ahli politik, dan kempen pilihan raya.

Ini kerana terdapat individu yang tidak bertanding dalam pilihan raya tetapi tetap menerima sumbangan dana atas dasar visi dan perjuangan parti mereka.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN