fb fb fb fb fb

'Kerajaan tidak benarkan kenaikan elektrik yang jejaskan rakyat' - PM

Anwar Ibrahim/RTM

LANGKAWI, 27 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang boleh menjejaskan rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat bertenang susulan pengumuman cadangan kenaikan tarif elektrik bermula tahun hadapan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) semalam.

Tambah Perdana Menteri, kenaikan kadar itu tidak seharusnya diletakkan kepada majoriti rakyat sebaliknya kepada golongan maha kaya atau industri yang mencatatkan keuntungan luar biasa.

"Mengenai pengumuman Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kenaikan elektrik, tadi saya dah hubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri yang bertanggungjawab (PETRA) untuk minta TNB memberi penjelasan.

"Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti mana yang dahulu itu hanya membabitkan golongan atasan yang saya sebut maha kaya ataupun industri yang mencatat keuntungan," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan memahami dengan peningkatan kos yang terpaksa ditanggung TNB, namun ia tidak sepatutnya menjejaskan kedudukan majoriti rakyat.

"Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh melibatkan atau (membabitkan) kedudukan kos kepada majoriti rakyat," katanya.

Perdana Menteri ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hana di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 orang hadir mendengar khutbah Jumaat bertajuk "Pendidikan Islam Nadi Umah Sejahtera" yang disampaikan oleh Khatib Ustaz Dzaher Saad.

Sementara itu Ketua Pegawai Kewangan TNB, Datuk Nazmi Othman berkata tarif elektrik bagi Tempoh Kawal Selia Empat (RP4) yang bermula pada Julai masih belum dimuktamadkan dan masih boleh diperhalusi oleh kerajaan.

Keputusan tersebut dijangka diumumkan selewat-lewatnya pada Jun depan.

Beliau menambah sebanyak 85 peratus pengguna domestik di Semenanjung dijamin tidak akan terjejas sehingga Jun 2025.

TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia semalam menyatakan sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014 akan terus berkuat kuasa tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun tahun hadapan.

SITI AISHAH MD ISA