fb fb fb fb fb

Kerajaan sedaya upaya selamatkan mangsa pemerdagangan manusia

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/BERNAMA

SUNGAI PETANI, 5 November- Kerajaan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan kesemua mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang didapati terperangkap di luar negara berdasarkan prinsip the right to return atau hak untuk kembali.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata melalui prinsip itu kerajaan akan melakukan pelbagai kaedah demi menyelamatan rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan di luar negara setelah mendapat laporan rasmi mengenainya.

Beliau berkata kerajaan akan menggunakan hubungan diplomatik atau agensi ke agensi dan perkongsian maklumat perisikan dalam usaha mengesan sekali gus menyelamatkan mangsa.

"Sejak empat, lima tahun kebelakangan ini angka (mangsa pemerdagangan manusia) meningkat dari segi pasukan polis sendiri menerusi langkah menyelamat yang  dibuat ada prinsip jelas, katanya kepada media selepas Majlis Pentauliahan Program Pensijilan Agensi Antidadah Kebangsaan AADK  dan Perasmian Pusat Koreksional Sungai Petani.

Datuk Seri Saifuddin Nasution mengulas laporan hari ini mengenai hampir 2,000 rakyat Malaysia dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia masih terperangkap dan tidak mampu menyelamatkan diri di beberapa negara jiran sejak setahun lepas.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya menerima aduan daripada ratusan keluarga meminta bantuan membawa ahli keluarga mereka pulang dan difahamkan di Myanmar sahaja lebih 1,200 mangsa menjadi buruh paksa yang melakukan pelbagai pekerjaan.

Mengenai bilangan mangsa, beliau berkata pihaknya hanya merujuk kepada jumlah rasmi kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa dan kementerian berkaitan akan membuat pengesanan serta operasi menyelamat sebaik sahaja menerima aduan.

"Sama ada angka itu selari atau sama dengan polis kumpul, melalui aduan keluarga...NGO (badan bukan kerajaan) mungkin ada saluran lain. Penting untuk laporkan angka yang tepat. Biarlah kerajaan bertindak atas angka rasmi kerana melaluinya saja boleh melancarkan bantuan melalui kerjasama dengan pihak negara berkenaan," katanya.

Saifuddin Nasution berkata kerjasama daripada ahli keluarga juga sangat penting kerana pihak berkuasa memerlukan pelbagai maklumat untuk tujuan pemprofilan selepas mangsa diselamatkan.

Menurut beliau, antara maklumat diperoleh setakat ini ada sebahagian mangsa yang benar-benar naif dan mempercayai sindiket pemerdagangan manusia itu.

"Sebahagian lagi tahu dari mula scam (penipuan) tapi pergi juga. Ada yang tiada kena-mengena dengan scam...mereka berjudi di luar, kalah pinjam along dan tak boleh balik dan maklumkan menjadi mangsa," katanya.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN