
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Lebih banyak taman awam berkualiti bakal dibangunkan di seluruh negara bagi menyediakan ruang rekreasi yang lebih selesa kepada rakyat, di samping menggalakkan gaya hidup sihat.
- Kerajaan MADANI menyasarkan pembinaan 1,000 Taman MADANI dalam 10 tahun, purata 100 taman setiap tahun.
- Sehingga kini 216 Taman MADANI siap dibina dalam 24 bulan, dijangka meningkat kepada 316 menjelang Disember.
- Inisiatif menukar tanah terbiar menjadi taman komuniti berkemudahan: taman permainan, gelanggang badminton, trek joging, kemudahan rekreasi dan kawasan hijau.
- Kerajaan memperkenalkan Model Sekolah Vertikal melalui empat projek perintis bagi atasi kesesakan sekolah di kawasan bandar padat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Kerajaan MADANI menyasarkan pembinaan 1,000 Taman MADANI dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menurut beliau, usaha itu bertujuan memperkukuh kesejahteraan mental, meningkatkan perpaduan sosial serta menggalakkan interaksi dalam kalangan komuniti.
“Kerajaan MADANI komited memperluaskan penyediaan ruang awam berkualiti di seluruh negara kerana ia memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan mental, memperkukuh perpaduan sosial serta menggalakkan interaksi dalam kalangan komuniti.
“Sehubungan itu, kerajaan menetapkan sasaran untuk membangunkan 1,000 Taman MADANI di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan purata pembinaan 100 taman setiap tahun,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Program City Talk 2026 di ibu negara, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 216 Taman MADANI telah siap dibangunkan dalam tempoh 24 bulan lalu.
Menurutnya, jumlah itu dijangka meningkat kepada 316 taman menjelang Disember ini, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan.
Katanya, inisiatif itu melibatkan transformasi tanah terbiar menjadi taman komuniti yang dilengkapi taman permainan kanak-kanak, gelanggang badminton, trek joging, kemudahan rekreasi dan kawasan hijau.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Model Sekolah Vertikal menerusi empat projek perintis di Putrajaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Inisiatif itu bagi mengatasi masalah kesesakan sekolah di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.