fb fb fb fb fb

Kerajaan rangka RUU baharu tangani isu pengemis dan gelandangan

Kerajaan kini sedang merangka pendekatan baharu yang lebih praktikal dan relevan bagi menangani isu pengemis dan gelandangan / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kerajaan kini sedang merangka pendekatan baharu yang lebih praktikal dan relevan bagi menangani isu pengemis dan gelandangan, susulan beberapa peruntukan dalam Akta Orang-Orang Papa 1977 dikenal pasti tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata gerak kerja sedang giat dijalankan ke arah penggubalan satu Rang Undang-Undang (RUU) khusus berkaitan pengemis dan gelandangan.

2307 PAR NANCY AKTA 2Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri / Foto Bernama

“Kerajaan telah mengenal pasti beberapa peruntukan dalam Akta Orang-Orang Papa 1977 yang tidak lagi relevan dan memerlukan pendekatan baharu yang lebih praktikal serta bersesuaian.

“Kementerian kini dalam usaha merangka RUU baharu bagi memastikan isu gelandangan dapat ditangani dengan lebih teratur, termasuk memperkemas aspek penguatkuasaan serta melaksanakan inisiatif intervensi yang lebih berstruktur dan bermatlamat untuk membantu mereka kembali menjalani kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa di Dewan Rakyat, hari ini, berhubung hasil semakan dan kajian semula ke atas Akta Orang-Orang Papa 1977 yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sejak tahun 2022.

Tambah Nancy, kementeriannya juga sedang meneliti hasil dapatan kajian tersebut yang akan dijadikan asas kepada penstrukturan semula serta perincian mekanisme yang lebih holistik bagi melindungi kebajikan golongan pengemis dan gelandangan dalam semua aspek.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN