KUALA LUMPUR, 8 Jun- Kerajaan sentiasa komited dan prihatin terhadap kebajikan karyawan veteran dan penggiat seni tanah air.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya juga sedang dalam perancangan strategik bagi terus membantu penggiat seni veteran demi kelangsungan hidup mereka.
"Saya minta supaya pihak RTM meneliti bukan untuk Ross (Ross Ariffin) seorang tapi terutama bagi para veteran.
"Kita nampak, kita lihat macam contohnya saudara Roy, penyanyi Roy...yang juga menghadapi beberapa kesulitan.
"Kita cuba untuk bantu dengan beberapa cara dan saya ingin lihat peluang ini dipanjangkan kepada lebih ramai.
"Jadi, kita akan teliti cara yang mungkin 'sustainable' untuk terus membantu mereka," katanya ketika menyantuni dan membuat kunjungan ziarah komposer terkenal Ross dan menyerahkan keyboard serta sumbangan terhadap komposer itu.
Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif juga telah diambil bagi menyantuni artis-artis veteran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), juga yang terlibat dalam bidang perfileman.
Fahmi akan terus memastikan isu kebajikan penggiat artis tanah air akan terus dapat dibela dan membuka peluang kepada mereka yang ingin berkarya kembali dalam industri.