Kerajaan panggil MB, Ketua Menteri, selaras langkah hadapi kesan konflik

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 27 Mac– Kerajaan akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar, Premier dan Ketua Menteri bagi menyelaras langkah menghadapi cabaran ekonomi dan keselamatan susulan konflik Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan memanggil pemimpin semua parti untuk rundingan dan taklimat berkaitan keselamatan serta langkah ekonomi.
  • Taklimat akan melibatkan agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Tindakan Ekonomi.
  • Situasi dalam negara masih terkawal walaupun konflik Asia Barat memberi kesan kepada ekonomi global; tumpu kepentingan rakyat bukan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan penyertaan semua negeri tanpa mengira perbezaan politik.

“Minggu depan saya akan panggil semua Menteri Besar, Premier dan Ketua Menteri supaya semua negeri terlibat tanpa mengira kerajaan atau pembangkang.

Kerajaan turut merancang memanggil pemimpin semua parti politik bagi sesi rundingan dan taklimat berkaitan keselamatan serta langkah ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini.

Jelas Datuk Seri Anwar, taklimat itu akan melibatkan agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Tindakan Ekonomi.

Langkah itu bagi memastikan semua pihak memahami situasi semasa serta tindakan yang perlu diambil secara bersama.

Mengulas keadaan semasa, beliau berkata situasi dalam negara masih terkawal walaupun konflik Asia Barat memberi kesan kepada ekonomi global.

“Jangan terlalu sibuk dengan politik, sebaliknya tumpu kepada kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya lagi.