fb fb fb fb fb

Kerajaan optimis isu ringgit selesai dalam masa terdekat - TPM

Dr Ahmad Zahid Hamidi

Cyberjaya, 25 Februari- Kerajaan optimis bahawa isu kejatuhan nilai mata wang ringgit dapat diselesaikan dalam masa terdekat menerusi pelaburan bernilai RM329 bilion yang diluluskan Perdana Menteri, tahun lalu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jumlah pelaburan tertinggi itu bakal menambah eksport negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus isu kejatuhan ringgit akan dapat diatasi.

Tambah beliau, perkara berkenaan juga antara yang dibincangkan dalam mesyuarat pra persidangan pagi tadi.

Kongsinya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga meminta Ahli Parlimen memperjelas isu rakyat dengan lebih terperinci dalam sidang Dewan Rakyat bermula esok. 

"Pada tahun 2024 dan seterusnya, Kerajaan MADANI harus menangani isu-isu rakyat, baik daripada segi perundangan, barangan keperluan dan kejatuhan ringgit.

"Ini harus diperjelaskan dan usaha-usaha baharu harus dilakukan terutamanya apabila pelaburan sebanyak RM329 bilion telah dapat diusahakan oleh Perdana Menteri.

"Ini akan memberikan peluang pekerjaan, tentunya menambahkan eksport negara dan secara tidak langsung soal kejatuhan ringgit akan dapat diatasi dalam waktu terdekat," katanya kepada pemberita di sini.

Landskap pelaburan negara yang memberangsangkan juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Jelasnya, kerajaan juga sentiasa bersedia menangani isu lama dan baharu yang dibangkitkan pembangkang.

Bagaimanapun, Zahid mengingatkan setiap Ahli Parlimen untuk berhujah berdasarkan fakta yang tepat bagi menjaga imej baik Ahli Parlimen Kerajaan MADANI.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Program Penggerak Wanita RISDA (PEWARIS) di sini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.

SITI AISHAH BINTI MD ISA