fb fb fb fb fb

Kerajaan Melaka salur RM100,000 pelihara Villa Sentosa

(Dua dari kiri) Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam (tengah) meraikan penubuhan 100 Tahun Villa Sentosa di Kampung Morten, Melaka/Foto Ab Rauf

MELAKA, 13 April - Kerajaan Negeri Melaka menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada Villa Sentosa iaitu Rumah Tradisional berusia 100 tahun yang menjadi tumpuan pelancong.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukkan berkenaan bagi memelihara dan memulihara rumah tradisional yang terletak di Kampung Morten.

Beliau berkata, rumah yang penuh dengan nilai sejarah berkenaan berjaya menarik lebih 200,000 pelancong luar negara sepanjang dibuka kepada umum.

"Saya melihat bahawa nilai-nilai sejarah yang ada pada rumah lama ini mesti dipelihara dan mesti dijaga dengan baik untuk menjadi warisan kepada generasi akan datang selain menjadi tempat tumpuan pelancong yang hadir untuk melihat seni dna budaya seni bina Melayu yang sedia wujud sejak 100 tahun dahulu.

"Jadi saya difahamkan lebih 200,000 pengunjung luar negara telah mendaftar sebagai pelawat diambil kira untuk dijadikan rujukan sebagai kawasan Kampung Morten di Villa Sentosa ini yang akan menjadi satu kawasan sebutan kepada pelancong-pelancong yang datang dari luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-100 Villa Sentosa yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Lebih 400 ahli keluarga pemilik Villa Sentosa iaitu waris Hashim Abdul Ghani turut berkumpul pada majlis itu hari ini.

Datuk Seri Ab Rauf berkata, pihaknya juga akan memberi perhatian terhadap kebersihan kawasan Kampung Morten yang seterusnya mengamit lebih ramai pengunjung ke satu-satunya kampung yang masih terdapat di Bandar Melaka itu.

Sementara itu, Pengurus Villa Sentosa, Ibrahim Hashim berkata, pihaknya akan menggunakan sebaik mungkin peruntukkan yang diberi itu bagi pemeliharaan dan pemuliharaan Villa terbabit.

"Dari segi peruntukkan yang diterima itu kita akan gunakan sedaya upaya membaiki dan upgrade rumah ni yang memerlukan pembaikkan agaknya separuh bahagian rumah ini ada sedikit uzur.

"Jadi kalau nak kira macam RM100,000 itu tidak mencukupi. Tapi Alhamdulillah dengan adanya peruntukan ini memberi dorongan untuk baikpulih supaya rumah tradisional ini dipertahankan pada tahun-tahun yang akan datang," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN