KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Kerajaan komited membangunkan Pelan Tindakan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NBHRAP) 2025-2030 yang menyeluruh bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di samping memperjuangkan kebajikan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia bagi mewujudkan persekitaran yang menarik pelaburan bertanggungjawab dan mengangkat kehidupan rakyat.
Tambahnya, pelan tindakan itu dijangka siap pada tahun 2024.
"Ini bukan komitmen daripada kerajaan secara menyeluruh lagi sebab kita masih akan bawa untuk satu mesyuarat jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh saya.
Kemudian, baru kita bawa ke peringkat kabinet untuk mendapat pandangan daripada agensi dan kementerian yang terlibat dalam elemen perniagaan, hak asasi dan sebagainya. Maka, ia adalah faktor 'multi ministral', kata Azalina kepada pemberita di ibu negara, hari ini.
Azalina berkata demikian dalam sidang media Persidangan 'Unveiling Insights and Actions: Malaysia's Baseline Assessment on Business and Human Rights' dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia di ibu kota.
Acara usaha sama itu bertujuan mempamerkan penemuan awal kepada penilaian asas kebangsaan yang merupakan perkara penting dalam membangunkan pelan tindakan untuk hak asasi manusia dan perniagaan.