fb fb fb fb fb

Kerajaan kaji konsep kedutaan data, lindungi keselamatan data rakyat

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 November - Kajian menyeluruh bagi konsep kedutaan data akan dibangkitkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata ia merupakan pusat pemprosesan data yang diusahakan syarikat negara lain di negara ini, yang mana kawal selianya bersifat kedutaan.

"Kita akan mulakan sedikit kajian kerana ada beberapa pihak yang memberi pandangan tentang apa yang boleh kita sebut sebagai konsep kedaulatan data apatah lagi bila Malaysia menjadi pusat kepada pusat pemprosesan data.

"Kita belum lagi buat apa-apa keputusan, cuma saya sebutkan dalam konteks perbincangan pada hari ini, ini antara perkara yang telah dibangkitkn kepada Perdana Menteri dan kita akan kaji dengan menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Digital Transformation Leader’s CxO Summit: Intellogent Digital Transformation in the 5G Era, di sini.

Tambah Fahmi, konsep itu perlu diimbangkan dengan Rang Undang-undang Siber yang sedang digubal ketika ini, serta pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi dan Akta Omnibus Perlindungan Data.

Katanya, kedaulatan undang-undang serta keselamatan data rakyat dan negara perlu dijamin dalam pertimbangan konsep ini.

Sementara itu, Fahmi berkata Malaysia akan terus menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan pusat data.

Katanya, dasar perniagaan yang jelas serta kemudahan entiti yang baik merupakan faktor utama negara terus menjadi pilihan di rantau ini.

"Kerana kita lihat bila masa Malaysia menjadi destinasi idaman bagi pelabur-pelabur asing, terutama dalam konteks pusat pemprosesan data maka kita harap dengan hubungan yang lebih erat dan lebih baik,kita akan dapat menyediakan kerangka kawal selia yang bersifat sedia untuk masa depan," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN