fb fb fb fb fb

Kerajaan jamin tambang ECRL tidak membebankan pengguna - Wee

KUALA LUMPUR, 6 Mei - Kerajaan memberi jaminan kadar tambang perkhidmatan pengangkutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan ditetapkan kelak tidak akan membebankan pengguna.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata dakwaan Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail bahawa tambang ECRL sehingga enam kali ganda lebih tinggi berbanding harga tiket penerbangan adalah bersifat spekulatif dan tidak berasas.


(Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong)

Beliau berkata perbincangan berhubung perkara itu masih berjalan di peringkat kerajaan bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL untuk setara berbanding kadar tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Pantai Barat Semenanjung.

"Sepertimana yang diketahui, kadar tambang ETS adalah amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung. Penetapan kadar tambang ECRL adalah berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Secara dasarnya, kadar tambang yang ditetapkan kelak akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan dalam masa sama berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan. Apa yang paling penting, ia tidak akan membebankan para pengguna," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Semalam, media melaporkan Azan dipetik sebagai berkata tambang ECRL dijangka mahal ekoran kos pembinaannya yang tinggi dan menggesa kerajaan meneliti aspek kemampuan rakyat untuk membayar tambang perkhidmatan projek prasarana pengangkutan itu yang dijangka siap pada penghujung 2026.-BERNAMA

Media Baharu