Kerajaan henti serta merta sebarang perolehan peralatan pertahanan baharu dari Norway

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kerajaan mengambil keputusan untuk menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway.

RINGKASAN BERITA AI
  • Norway membatalkan lesen eksport Naval Strike Missile untuk LCS Malaysia atas alasan melindungi keselamatan negara.
  • Pembatalan lesen itu mengganggu pemasangan peluru berpandu pada kapal LCS Tentera Laut Diraja Malaysia.
  • Kementerian Pertahanan menghantar notis tuntutan kira-kira RM1 bilion kepada syarikat pertahanan terbabit.
  • MINDEF mengenal pasti empat negara berpotensi membekalkan sistem peluru berpandu antikapal bagi projek LCS.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini setelah meneliti isu terkini tindakan negara itu dalam membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dilengkapkan pada kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Kementerian Pertahanan menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport Naval Strike Missile (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) kepada Malaysia atas alasan melindungi kepentingan keselamatan negara berkenaan.

Susulan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menghantar notis tuntutan bernilai kira-kira RM1 bilion kepada syarikat pertahanan terbabit berikutan pembatalan kontrak perolehan NSM.

MINDEF turut mengenal pasti empat negara yang berpotensi membekalkan sistem peluru berpandu antikapal bagi projek LCS susulan pembatalan itu. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.